fb fb fb fb fb

Ribut di Perlis, 39 rumah rosak

KUALA PERLIS, 28 April- Sebanyak 39 rumah rosak akibat bumbung diterbangkan angin serta dihempap pokok tumbang susulan kejadian angin kencang dan hujan lebat yang melanda Perlis, semalam. 

Tinjauan media di Kuala Perlis dan Simpang Empat mendapati 14 kawasan dikenal pasti terlibat sekitar Arau dan Kangar

Antara kawasan terlibat ialah Kampung Behor Mentalon, Kampung Sungai Berembang, Kampung Behor Masjid dan Kampung Chemumar.
 
Selain itu, Kampung Padang Besar Selatan, Kampung Tok Kaya, Kampung Behor Mali, Kampung Titi Tok Bandar, Kampung Sungai Baru, Seriab, Simpang Empat, Tambun Tulang, Long Boh dan Kayang
 
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan, pihaknya kini sedang menyelaras serta mengemaskini anggaran sebenar kerosakan setiap rumah terlibat berdasarkan laporan polis yang diterima dan tinjauan ke setiap rumah terjejas.

"Kami di pihak MAIPs mengucapkan takziah kepada semua yang terlibat dan kami berharap semua pihak dapat sama-sama menyalurkan maklumat kepada kami dan juga agensi kerajaan lain agar bantuan dapat dilaksanakan segera," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata selain rumah, gerai-gerai peniaga di pesisiran pantai Pulau Ketam, Kurung Tengar dan kawasan Sungai Berembang turut terjejas.

"Kerajaan negeri akan dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), MAIPs dan beberapa agensi lain bagi membantu mangsa terlibat," katanya.

Sebanyak enam buah rumah dari keseluruhan 39 buah yang terjejas akan diberikan bantuan oleh MAIPs berikutan kerosakan teruk yang dialami, manakala baki rumah terjejas akan diberikan bantuan oleh JKM
 
Bagi membersihkan rumah yang dihempap pokok, Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut menggerakkan anggota ke kawasan terjejas bagi memotong dan mengalih pokok tumbang.


(Tinjauan media di Kuala Perlis dan Simpang Empat mendapati 14 kawasan
dikenal pasti terlibat sekitar Arau dan Kangar)

Media Baharu