fb fb fb fb fb

Remaja penghidap kanser rayu bantuan kaki palsu

Foto RTM

TEMERLOH, 11 Ogos - Daripada seorang remaja yang aktif dan normal kini Mohd Hidayat Mujahid Mohamed So'od, 13 tahun kehilangan kaki kiri selepas disahkan menghidap kanser tulang pada Jun lalu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh itu tidak dapat meneruskan persekolahan malah urusan sehariannya juga bergantung penuh kepada kedua ibu bapanya.

Bapanya, Mohamed So'od  Abdullah, 57 berkata pada Jun lalu anaknya pernah dirujuk ke hospital kerana sakit yang serius di bahagian kaki.

Katanya, ujian imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) terdapat ketulan tulang di bahagian kaki dan disahkan menghidap kanser tulang selepas hasil biopsi.

Namun, penderitaan anaknya makin bertambah selepas bengkak pada kaki membesar dan pecah hingga keputusan muktamad terpaksa dilakukan dengan membuang kaki kiri remaja itu pada penghujung Julai lalu.

"Keperluannya buat masa ini kaki. Kaki yang palsu sebab dia tiada ada lutut. Potongannya atas pada lutut jadi kalau kaki biasa itu keras, saya mohon lah kepada mana-mana pihak yang boleh menyumbangkan kaki mekanikal, saya pun sangat menghargai lah," kata Mohamed So'od.

Dia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap Mohd Hidayat kerana perlu bekerja sebagai pembantu dobi.

Selain susu yang dibekalkan pihak hospital, Mohamed So'od  juga perlu membeli susu ramuan khas serta lampin pakai buang dewasa untuk Mohd Hidayat.

Beliau berharap mana-mana pihak dapat membantunya mendapatkan bantuan kaki palsu sesuai dengan keadaan Mohd Hidayat memandangkan pendapatannya hanyalah sekitar RM1,500 ringgit selain perlu menyara isteri dan dua anaknya yang lain.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan mereka ke dalam akaun, 13151036504 (Hong Leong Bank) atas nama Mohamed So'od Abdullah.

Jika ingin membantu lebih lanjut boleh hubungi Mohamed So'od  di talian 013-7149987.

TETITIA YUSOFF