(Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat)
SEBERANG PERAI, 4 April- Hasrat seorang remaja untuk membeli baju raya tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Mangsa, Mohamad Donny Aliff Rasdi, 18 tahun dipercayai hilang kawalan sehingga merempuh kereta jenis pacuan roda jenis Mitsubishi itu di Kilometer 8.9 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah menghala ke Batu Kawan, lebih kurang jam 10.30 semalam.
Mangsa yang berasal dari Kampung Makam, George Town, meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan anak tunggal dikatakan dalam perjalanan ke Uptown Perda di Bukit Mertajam dengan beberapa rakannya yang menunggang motosikal secara berasingan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.
Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, mengesahkan kejadian.
(Keadaan motosikal milik mangsa yang remuk akibat rempuhan)