YAN, 19 Oktober - Keseronokan lima remaja mandi-manda di air terjun Geopark Sungai Teroi Rimba Rekreasi Lubuk Kawah, dekat sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.
Komander Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah, Mohd Farid Mohd Razali menerusi kenyataan memaklumkan, mangsa yang berusia 16 tahun dipercayai terjatuh ke dalam sungai sebelum dihanyutkan air deras.
Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 6.18 petang tadi.
Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Yan (BBP) Yan tiba di lokasi tidak lama kemudian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR), yang turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA dan orang awam.
Operasi SAR melibatkan pencarian di permukaan air dan meredah sungai.
Mayat mangsa ditemukan kira- kira pukul 8.40 malam, kira-kira 500 meter dari kawasan mangsa dilaporkan terjatuh.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian.
Operasi tamat pukul 9.35 malam.