Remaja 15 tahun dikhuatiri dibaham buaya di Sungai Sarawak

FOTO HIASAN

KUCHING, 27 Mac – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun hilang dan dikhuatiri dibaham buaya dalam kejadian di Sungai Sarawak, Rantau Panjang Batu Kawa, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa sedang mandi bersama ibu, abang dan adiknya ketika kejadian.
  • Datuk mangsa mengejar mangsa yang diheret menggunakan bot, namun mangsa hilang dari pandangan kira-kira 200 meter.
  • PGO menerima panggilan kecemasan pada 2.41 petang; lapan anggota bomba digerakkan untuk operasi mencari dan menyelamat.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa sedang mandi bersama ibu, abang dan adiknya.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan, mangsa mengadu sakit pada kaki sebelum dipercayai ditarik seekor buaya ke dalam sungai.

“Datuk mangsa yang berada di lokasi kejadian bertindak mengejar mangsa yang diheret reptilia itu menggunakan bot.

“Bagaimanapun, mangsa hilang daripada pandangan kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut PGO, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.41 petang.

Susulan itu, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).