RCI Tabung Haji: Syor perlu dilaksana, bukan sekadar laporan – Pakar

Bangunan Menara TH Tun Razak/ Bernama (Foto kecil: Dr. Mazlan Che Soh)

KUALA LUMPUR, 8 Ogos- Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu diterjemahkan kepada reformasi institusi yang jelas dan berkesan, bukan sekadar menjadi dokumen sejarah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pastikan setiap syor RCI disertai mekanisme pelaksanaan, tempoh, laporan kemajuan dan hasil yang boleh dinilai.
  • Utamakan keyakinan pendeposit melalui keselamatan simpanan, ketelusan pelaburan, pematuhan syariah dan integriti pengurusan.
  • Siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa mesti dijalankan oleh agensi penguatkuasaan berdasarkan bukti dan proses undang-undang, bukan penghakiman politik.
  • Tangani kelemahan tadbir urus termasuk campur tangan politik, struktur pelantikan dan pengawasan pelaburan untuk membina Tabung Haji lebih profesional dan diyakini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mazlan Che Soh berkata sidang khas Dewan Rakyat yang akan membahaskan laporan itu minggu depan perlu memastikan setiap syor disusuli mekanisme pelaksanaan termasuk tempoh, status kemajuan dan hasil yang boleh dinilai.

“Perkara paling kritikal selepas kita mendapat laporan atau dapatan RCI TH ialah memastikan laporan ini tidak hanya terhenti sebagai satu dokumen sejarah semata-mata.

“Tetapi lebih penting, kita perlu beriltizam untuk benar-benar menterjemahkannya kepada satu reformasi institusi yang boleh diukur,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

Dr. Mazlan berkata keyakinan jutaan pendeposit perlu menjadi keutamaan dengan memastikan keselamatan simpanan, ketelusan keputusan pelaburan, pematuhan syariah dan integriti pengurusan terus diperkukuh.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang dakwaan salah guna kuasa atau salah laku perlu disiasat agensi penguatkuasaan berdasarkan bukti dan proses undang-undang, bukannya melalui penghakiman politik.

Terdahulu, RCI berkenaan mendedahkan kelemahan tadbir urus termasuk isu campur tangan politik, struktur pelantikan dan pengawasan pelaburan.

“Ukuran kejayaan RCI ini bukanlah berapa banyak pihak yang kita dapat persalahkan, tetapi sama ada kita berjaya membina Tabung Haji yang lebih profesional, lebih bebas daripada campur tangan tidak wajar, lebih telus dan lebih diyakini pendeposit untuk jangka masa panjang,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan Laporan RCI TH akan diadakan pada 11 Ogos (Selasa).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.