JITRA, 18 Februari - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, meluangkan masa bertemu 70 orang pengadu yang pernah membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah, IPD Kubang Pasu di Kedah.
Ia bagi mengenalpasti permasalahan yang dihadapi oleh pengadu semasa siasatan yang dijalankan sebelum ini.
Kesemua pengadu dipanggil untuk perjumpaan ramah mesra bersama Ketua Polis Negara di IPD Kubang Pasu, petang semalam (Sabtu).
Polis Daerah Kubang Pasu dalam kenyataan memaklumkan, kebanyakan aduan berkaitan kes jenayah, narkotik, komersil dan trafik.
Ia berhubung status semasa siasatan terhadap kes yang dilaporkan oleh para pengadu.
Hadir sama, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh; Timbalan Ketua Polis Kedah, DCP Adzli Abu Shah; Setiausaha Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, DCP Alzafny Ahmad; dan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Rodzi Abu Hassan.