KUALA LUMPUR, 18 Februari- Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbang langkah menyediakan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata premis di kawasan sempit agak sukar bagi mematuhi jarak tiga meter untuk merokok yang dikuatkuasakan ketika ini.
Menurut beliau, KKM akan mengambil pertimbangan hal ini kerana jarak tersebut hampir dengan premis lain.
“Kementerian Kesihatan mengambil pertimbangan hal ini, kita sedia maklum kalau tiga meter jarak (merokok) dari premis makanan, sudah hampir dengan premis lain.
"Kami pasti akan mempertimbang keperluan mengadakan tempat tertentu seperti negara maju lain iaitu Singapura, Jepun dan Hong Kong di mana mereka punya tempat yang diizinkan untuk merokok,” katanya.
Beliu berkata demikian selepas Program Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di ibu negara.
Dr Dzulkefly juga berkata Jalan Alor akan dijadikan sebagai model peranan bagi Kuala Lumpur Street Food yang mematuhi tahap kebersihan serta larangan merokok di premis makanan dan kawasan penjaja.
Justeru itu, katanya program tinjauan mesra yang buat julung kalinya diadakan telah memilih Jalan Alor, yang merupakan pusat tarikan pelancong, dalam usaha memberi kefahaman, sokongan dan pematuhan masyarakat terhadap usaha tersebut.