KUALA LUMPUR, 17 Februari- Selaku jentera utama komunikasi kerajaan, Setiausaha Akhbar dan Unit Komunikasi Korporat (UKK) memiliki peranan penting merangka strategi komunikasi dan naratif berkesan bagi melawan fitnah serta tipu daya pihak tertentu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, ini terutama dalam menangkis dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang menangguk di air keruh terhadap usaha kerajaan merungkai masalah rakyat dan mengangkat kembali martabat negara ini.
“Usaha dan pendekatan yang diambil tidak akan membawa hasil yang segera, tetapi apa yang pasti rakyat mendapat manfaat dalam tempoh jangka masa panjang,” kata Anwar menerusi Facebooknya hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan penutupan Pemukiman Setiausaha Akhbar dan Ketua Unit Komunikasi Korporat di Putrajaya, yang menjadi kesinambungan daripada Pemukiman Jemaah Menteri bulan lepas.
"Saya letakkan jangkaan amat tinggi terhadap prestasi dan gerak kerja Setiausaha Akhbar dan Unit Komunikasi Korporat yang punya peranan penting menyebar luas dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan.
"Saya amat berkeyakinan permukiman ini dapat memperbaiki dan memperkukuh usaha Kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan terus kepada rakyat," ujarnya lagi.