fb fb fb fb fb

Ratusan ikan mati terapung di Tenom cetus kebimbangan penduduk

Antara spesis ikan yang ditemukan mati di Sungai Purolon / Foto RTM

TENOM, 20 Oktober - Insiden ratusan ikan ditemukan mati terapung di Sungai Purolon, Kampung Makaniton, di sini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Fenomena itu dilaporkan telah berlaku sejak empat hari lepas dan semakin ketara apabila banyak ikan daripada pelbagai spesis tersangkut di tebing dan akar pokok sepanjang sungai berkenaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan kesleamatan Kampung (JKKK) Kampung Makaniton, Jubin Kinsil, pihaknya juga mendapati ada ikan berenang dalam keadaan lemah, dipercayai akibat perubahan kualiti air.

Keadaan itu sekaligus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk di enam buah kampung sekitar kerana sungai tersebut turut menjadi sumber air graviti utama bagi kegunaan harian.

Beliau memaklumkan, laporan rasmi akan dibuat kepada Jabatan Perikanan Tenom dan Jabatan Kesihatan Tenom (FAERSH) bagi tindakan segera, termasuk pengambilan sampel air untuk ujian makmal.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat mengenal pasti punca kejadian secepat mungkin sama ada akibat pencemaran kimia, aktiviti tidak terkawal atau faktor alam sekitar.

EMMI NORALIZA ADNAN