fb fb fb fb fb

Rangkuman sambutan Maulidur Rasul di seluruh negara

(Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka / BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 28 September- Selain acara utama peringkat kebangsaan yang diadakan di Putrajaya, sambutan Maulidir Rasul turut dilangsungkan di peringkat negeri dengan ribuan rakyat mengambil bahagian.

Di Melaka, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam mengetuai hampir 7,000 peserta pada Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri pagi tadi.

Perarakan sejauh 2.5 kilometer itu bermula di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit dan berakhir di Dataran Pusat Islam, Masjid Al-Azim Bukit Palah.

Peserta daripada 142 kontinjen itu mula berkumpul di Stadium Tun Fatimah seawal pukul 7 pagi.

Kesemua kontinjen kemudian meneruskan perarakan dengan alunan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. dengan turut disaksikan oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Turut diadakan, Karnival Semarak Cinta Rasul di Dataran Pusat Islam Melaka bermula 28 September hingga 1 Oktober.

Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Maulidur Rasul 1445 Hijrah dijadualkan akan diadakan pada 1 Oktober nanti.


(Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu / BERNAMA)

Di Terengganu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat negeri itu untuk terus bersatu padu membangunkan negeri dan mempertingkatkan perpaduan dengan mengikuti dan menelusuri sirah Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda.

Sultan Mizan bertitah, terdapat banyak contoh teladan yang boleh diikuti daripada sirah Rasulullah terutama akhlak Baginda untuk diamalkan umat Islam.

Titah Sultan Mizan lagi, Nabi Muhammad adalah seorang yang amat menjaga keharmonian di kalangan masyarakat yang berbilang bangsa, kaum dan agama.

Justeru kasih sayang dan sikap toleransi seharusnya dipupuk dan disemai disamping memangkin usaha memperkuatkan peribadi masyarakat dengan keluhuran akhlak yang mulia dan adab yang tinggi.

Sultan Mizan menyeru masyarakat di Terengganu atas rasa sayang dan kasih kepada Rasulullah, sama sama mem bina ummah ke arah kehidupan yang lebih harmoni, bertolak ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Terengganu 1445 Hijrah di Stadium Tertutup Gong Badak  Kuala Nerus.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta barisan kepimpinan kerajaan negeri. 

Terdahulu 2, 208 peserta daripada 69 kontinjen menyertai perarakan Sempena Sambutan Maulidur Rasul yang bermula dari padang sintetik Kampung Tok Jiring sehingga ke Stadium Tertutup.


(Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan / BERNAMA)

Sementara itu di Negeri Sembilan, pemimpin dan rakyat di negeri itu diminta untuk terus memperkukuhkan perpaduan bagi memastikan sikap saling menghormati antara satu sama lain kekal utuh.

Demikian titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 1445 Hijrah di Padang Majlis Bandaraya Seremban.

Titah baginda, Rasulullah SAW juga telah menjadikan tali persahabatan dan persaudaraan sejak mula menegakkan negara Islam Madinah sehingga termeterainya Piagam Madinah,  dan ia perlu dijadikan contoh terbaik kepada semua lapisan masyarakat terutamanya para pemimpin.

Tuanku Muhriz bertitah ketika mencemar duli ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 1445 Hijrah, di Padang Majlis Bandaraya Seremban.

Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam ucapannya berharap,  rakyat Negeri Sembilan boleh menjadi contoh memperlihatkan kepelbagaian dan menzahirkan perpaduan yang menjadi teras kepada negara Malaysia.

Perarakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan turut disertai sebanyak 76 kontinjen.

Ia melibatkan kira-kira 4,500 peserta  daripada segenap lapisan masyarakat, Agensi  kerajaan, Badan Swasta, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta sekolah. 

Majlis turut diserikan dengan alunan qasidah dan selawat oleh Kumpulan Qasidah Ar Rayyan.


(Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak / BERNAMA)

Di Perak, Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis berkenaan diiringi Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) kepada Kasanah Mukkeri, 79 tahun.


(Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor / BERNAMA)

Manakala di Selangor, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri diadakan di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shazihan Ahmad.

Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor serta pegawai-pegawsi kerajaan negeri Selangor.

Sebelum itu, Raja Muda Selangor turut berkenan mengikuti segmen sirah Rasulullah bertajuk Rasulullah: Ikon Kepimpinan Integriti dan Kepimpinan Negara Bertamadun yang disampaikan penceramah, Pahrol Juoi.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah pula berlangsung di Alor Setar dengan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat tiba pada 10.30 pagi diiringi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Turut berangkat sama, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Majlis yang disertai lebih 300 hadirin itu dimulakan dengan nyanyian lagu 'Allah Selamat Sultan', bacaan ayat-ayat Al-Quran, ucapan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Seri Norizan Khazali selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk majlis sebelum diteruskan dengan titah ucapan Sultan Kedah.

Dalam titah ucapan baginda, Sultan Kedah mengingatkan rakyat Kedah seharusnya bertanggungjawab bersama, memelihara dan menjaga negeri ini kerana ia adalah tempat tinggal kita bersama, tempat bernaung di bawah langitNYA.

Baginda turut menyeru umat Islam untuk menghayati perjuangan Rasulullah S.A.W dengan menghidupkan syariat dan syiar yang dibawa oleh Baginda serta mengikut kaedah dan pendekatan yang diajar Baginda dalam menyelesaikan segala permasalahan umat.

Tuanku Sultan Kedah turut berkenan menyampaikan AnugerahTokoh Imam Maulidur Rasul  Peringkat Negeri Kedah kepada Haji Saidin Dogoi dari  Imam Masjid Al Ala Jitra  dan Anugerah Khas Maulidur Rasul kepada  Allahyarham Leftenan Kolonel (PA) Awang Iskandar Ampuan Yaakub diwakili Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff.

Media Baharu