fb fb fb fb fb

Rangkuman: Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dirai meriah di seluruh negara

Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dirai meriah di seluruh negara / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos - Ketika sambutan utama Hari Kebangsaan ke-67 berlangsung di Dataran Putrajaya, rakyat dari pelbagai lapisan turut meraikan peristiwa bersejarah itu di seluruh negara.

Di Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyertai lebih 65,000 rakyat di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1. Sambutan dimeriahkan dengan perarakan panji-panji, acara menaikkan Jalur Gemilang, bacaan ikrar, medley koir dan persembahan kebudayaan.

Di Negeri Sembilan, lebih 20,000 orang membanjiri Padang Majlis Bandaraya Seremban. Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud turut berangkat.

Sementara itu, di Alor Setar, Kedah, sambutan di Dataran Medan Bandar berlangsung dengan kehadiran lebih 35,000 rakyat. Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff, memeriahkan majlis tersebut.

Di Terengganu, Yang Dipertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail berangkat ke Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, bersama lebih 20,000 rakyat. Acara perbarisan dan perarakan bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah hingga Dataran Shahbandar.

Kemeriahan turut dirasai di Perak, Pulau Pinang, dan Melaka.

Di Perak, hampir 50,000 rakyat berbilang bangsa membanjiri pekarangan Dewan Bandaran Ipoh. Sambutan diserikan dengan keberangkatan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Di Pulau Pinang, sambutan di Padang Kota Lama, Georgetown, dihadiri lebih 8,398 peserta, diserikan dengan kehadiran Yang Di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi dan isteri.

Manakala di Melaka, meskipun hujan lebat, lebih 50,000 rakyat menyertai sambutan di Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir. Pertunjukan udara dan perarakan 845 kenderaan termasuk aset tentera turut menceriakan sambutan.

Di Sarawak, Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan kepentingan tarikh 31 Ogos dalam mengukuhkan hubungan antara rakyat untuk membina Malaysia yang progresif.

Manakala di Johor, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru agar semua pihak terus bekerjasama membangunkan negeri dan memelihara keharmonian antara kaum.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN