fb fb fb fb fb

Rangkuman: Disebalik 27 jam kunjungan rasmi Anwar ke Jakarta

JAKARTA, 10 Januari- Lawatan singkat selama 27 jam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Republik Indonesia membawa agenda perubahan baharu buat kepentingan nasional kedua-dua negara.

Pertemuan empat mata kedua-dua pemimpin serumpun itu menjadi fokus mata dunia kerana kemesraan dan keakraban seperti yang sering diterjemahkan oleh Anwar sebagai sahabat sejati beliau.

Tidak sampai dua bulan menjadi Perdana Menteri, Anwar memulakan kunjungan rasmi pertamanya ke republik Indonesia.

Ketibaan Anwar ke Jakarta pada 8 Januari lalu memberi makna besar dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

Secara peribadi Anwar mengakui bahawa Indonesia sangat istimewa buat dirinya kerana melangkaui batas sempadan dalam aspek berkongsi budaya selain mempunyai kesepakatan dalam hubungan diplomatik sebagai rakan ASEAN.

Agenda utama dalam pertemuan singkat itu, Anwar dan Jokowi telah berbincang secara terbuka mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan antarabangsa.

Antaranya dari segi kerjasama ekonomi sebagai rakan perdagangan dan pelaburan yang strategik.

Ketika kunjungan hari pertama, Anwar menyaksikan sembilan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia dengan jumlah projek yang dianggarkan bernilai RM1.66 bilion.

Antaranya melibatkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Badan Berkanun.

Malaysia juga menunjukkan minat mendalam untuk turut serta dalam pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara dengan menyerahkan 11 Surat Minat (Letter of Interest - LoI) kepada Pengerusi Nusantara.

Sehingga suku kedua 2022, pelaburan Malaysia di Indonesia adalah sebanyak RM59.8 bilion dan pelaburan Indonesia di Malaysia sebanyak RM4.2 billion.

Pemimpin berusia 75 tahun itu juga berpeluang menemui diaspora Malaysia yang dihadiri seramai 167 orang dalam satu majlis makan malam di Kedutaan Negara Indonesia.

Beliau turut menyampaikan ucapan dan menjawab sesi soal jawab bersama diaspora.

Dalam ucapannya beliau menegaskan tiada kompromi terhadap kelompok elit yang salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi meskipun menjejaskan kedudukannya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, fokus keutamaannya kini adalah membentuk kerajaan yang sedang berusaha memacu semula ekonomi negara agar lebih kukuh dan mampan bagi menarik pelaburan asing ke Malaysia.


(Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo melambai
kepada petugas media di Istana Bogor semalam /FOTO Facebook Anwar Ibrahim)

ACARA KEMUNCAK KUNJUNGAN ANWAR

Pada acara kemuncak kunjungan Anwar yang memasuki hari kedua, beliau bertemu Presiden Joko Widodo di Istana Bogor, Jawa Barat pada pukul 10.00 pagi semalam.

Ketibaan Anwar disambut mesra oleh Presiden Joko Widodo, diikuti lagu kebangsaan Negaraku dan Indonesia Raya, disusuli 19 das tembakan penghormatan.

Dalam kenyataan bersama beliau bersama Jokowi di Istana Bogor, Anwar mengulangi pendiriannya untuk memastikan isu perlindungan terhadap warga kerja dari Indonesia diberi keutamaan.

Beliau menegaskan penyelesaian terhadap keselamatan warga republik itu harus menyeluruh selain memastikan urusan kemasukan pekerja dari Indonesia dipermudahkan.

Isu pembatasan sempadan darat dan maritim di antara kedua-dua negara juga disentuh termasuk isu-isu serantau dan antarabangsa.

Kedua-dua pemimpin itu bersepakat agar terus bekerjasama rapat bagi menangani sebarang diskriminasi minyak sawit di peringkat antarabangsa yang disekat oleh Kesatuan Eropah (EU).

Anwar dan Jokowi turut membincangkan isu perbatasan melibatkan Malaysia-Indonesia yang akan diteliti dan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri dalam masa terdekat.

Katanya Malaysia turut mengambil pendekatan positif supaya pertumbuhan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara juga beri manfaat kepada wilayah di Malaysia terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Presiden Jokowi juga berharap agar pelaksanaan one channel system (OCS) untuk penempatan dan perlindungan pekerja migran Indonesia dapat dilaksana bersama.

Jokowi turut menyambut baik minat para pelabur Malaysia untuk meneroka peluang pelbagai sektor seperti elektronik, kesihatan dan hartanah di pembangunan IKN Nusantara.

Dalam kenyataan bersama, Jokowi menyatakan hasrat agar pembangunan pusat pembelajaran komuniti di Malaysia dapat memberi manfaat kepada rakyatnya untuk memenuhi hak pendidikan anak-anak pekerja warga Indonesia.

Perdana Menteri mengakhiri lawatan rasmi pertamanya ke Indonesia pada majlis syarahan umum bertajuk Hubungan Strategik Malaysia-Indonesia di Menara Bank Mega, Jakarta.

Hadirin di kerusi hadapan termasuk barisan bekas menteri dan menteri semasa merentasi beberapa pentadbiran presiden Indonesia.

Daripada kabinet Jokowi pula antara yang hadir ialah Menteri Pertahanan Prabowo Subianto dan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Sandiaga Uno.

Lebih 500 tetamu hadir untuk mendengar syarahan umum pertama beliau yang menyentuh soal budaya, ekonomi, perkembangan politik selama 30 tahun beliau.

Selain itu beliau menyatakan komitmennya untuk menangani isu-isu berkaitan kebajikan dan perlindungan pekerja Indonesia dalam pelbagai sektor untuk menjamin persekitaran yang lebih baik dan lestari.

Laporan Grace Aisyah Kedayan, RTM.

Media Baharu