fb fb fb fb fb

Rangkaian 5G capai 54.7 peratus liputan

(Teo Nie Ching pada sesi Persidangan Dewan Negara hari ini)

KUALA LUMPUR, 27 Mac- Sebanyak 4,363 daripada 7,509 tapak 5G telah siap dibangunkan Digital Nasional Berhad (DNB) di seluruh negara, setakat 28 Februari 2023.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, dengan jumlah itu, ketersediaan rangkaian 5G telah mencapai 54.7 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Jumlah peratusan tersebut adalah termasuk tapak-tapak pemancar 5G yang telah diaktifkan oleh DNB tetapi belum boleh diakses kerana masih dalam proses oleh syarikat penyedia perkhidmatan.

"Jika dilihat pada tapak 5G yang boleh diakses pengguna sahaja, ketersediaan perkhidmatan 5G berada pada 46.9 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

"Selain itu, kerajaan juga sedang mempertimbang teknologi seperti broadband wireless access, fixed wireless access dan teknologi satelit sebagai sebagai kaedah untuk memastikan capaian internet ke seluruh negara, terutamanya ke kawasan-kawasan berpenduduk di pedalaman dan sangat terpencil yang sukar dicapai melalui infrastruktur 4G atau 5G," katanya.

(Sebanyak 4,363 daripada 7,509 tapak 5G telah siap dibangunkan Digital
Nasional Berhad (DNB) di seluruh negara, setakat 28 Februari 2023/Foto fail)

Beliau menjawab pertanyaan Senator Balasubramaniam Nachiappan di Dewan Negara.

Pembangunan rangkaian 5G oleh DNB telah mula dilaksana pada suku ketiga tahun 2021 dan dapat diakses oleh pengguna pada tahun yang sama.

Peluasan liputan 5G ke kawasan lain akan dilaksanakan secara berperingkat pada tahun-tahun yang berikutnya.

Media Baharu