fb fb fb fb fb

Rangka manusia prasejarah ditemukan penyelidik UKM

GUA MUSANG, 31 Mei- 31 Mei- Rangka manusia prasejarah dijumpai sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kumpulan itu diketuai Felo Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),  Profesor Madya Dr Zuliskandar Ramli yang berjaya menemukan rangka manusia prasejarah yang lengkap bersama beberapa artifak lain di gua berkenaan semasa menjalankan kerja-kerja Ekskavasi Arkeologi Menyelamat untuk Projek Hidroelektrik Nenggiri November lalu.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini, "rangka tersebut merupakan antara penemuan penting kepada warisan arkeologi negara yang secara tidak langsung dapat menyumbang kepada dapatan fakta baharu berkait amalan pengebumian dan evolusi sosio-budaya kehidupan zaman prasejarah khususnya di Lembah Nenggiri.


"Rangka manusia tersebut berada dalam kedudukan melipat sepenuhnya dan menghadap ke arah barat daya di mana ia merupakan posisi yang hampir sama dengan kedudukan fetus dalam kandungan ibu yang sedang mengandung," katanya.

Rangka tersebut adalah asosiasi artifak yang berada di sekelilingnya yang berfungsi sebagai alat bekalan kubur.

(Rangka manusia prasejarah di Gua Keledung Kecil)

Tapak tangan kanan si mati memegang mineral hematit manakala tapak tangan kiri pula memegang lutut kaki kanan, malah di sekeliling rangka juga terdapat alat-alat batu yang dikebumikan bersama-sama dengan si mati.

Antaranya batu pelandas dengan alat grind-pounding, kapak genggam dan alat repeh yang diperbuat daripada batu sabak serta kristal kuarza yang sering digunakan dalam ritual pengebumian masyarakat prasejarah.

Cara pengebumian rangka manusia prasejarah yang ditemui itu merupakan amalan masyarakat prasejarah yang terawal mendiami Lembah Nenggiri semenjak 14,000 tahun lalu.

Kenyataan itu juga menyebut, sampel gigi dan cengkerang siput akan dihantar ke Beta Lab di Amerika Syarikat untuk memperoleh pentarikhan kronometrik.

Sebagai langkah awal, rangka manusia prasejarah ini akan dibawa keluar dari Gua Keledung Kecil dan ditempatkan di makmal konservasi Jabatan Warisan Negara untuk kerja-kerja pemuliharaan secara menyeluruh.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui agensinya, Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan akan memastikan penemuan ini dapat dijadikan rujukan sejarah dan warisan negara serta dapat dikongsikan juga kepada orang ramai.

Sebuah galeri mini akan dibangunkan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran dengan Empangan Nenggiri bagi menempatkan segala jumpaan arkeologi di Lembah Nenggiri termasuklah rangka yang dijumpai di Gua Keledung Kecil.

Kewujudan galeri tersebut pastinya akan menjadi aset/produk pelancongan berasaskan warisan dan budaya untuk menarik pelancong datang ke Lembah Nenggiri.

Impaknya amat positif kepada rantaian sektor perkhidmatan di mana limpahan ekonomi serta kemakmurannya akan dinikmati oleh rakyat tempatan secara keseluruhan.

Media Baharu