MADINAH, 31 Mei - Lebih 60 peratus jemaah haji dikenal pasti mempunyai sejarah penyakit kronik seperti masalah buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.
Kebanyakan mereka terdiri daripada warga emas yang berusia 50 tahun ke atas.
Pengarah Operasi Perubatan Madinah, Dr. Abdul Jalil Ahmad menjelaskan antara risiko yang boleh dihadapi para jemaah adalah dehidrasi, disebabkan faktor cuaca panas sama ada di Mekah atau Madinah.
"Pada tahun ini kita lebih fokus kepada pesakit-pesakit yang warga emas, yang berpenyakit kronik dan kita akan titik beratkan pendidikan kesihatan agar mereka ambil minuman yg cukup," katanya.
Abdul Jalil turut mengingatkan jemaah agar sentiasa membawa buku kesihatan berwarna putih.
Kira-kira 260 petugas Tabung Haji (TH) bahagian perubatan terlibat semasa musim haji tahun ini, melibatkan pakar dalam bidang tertentu.
Pusat perubatan di Madinah yang telah mendapat permit daripada Arab Saudi, beroperasi selama 24 jam dan mempunyai 33 katil untuk para jemaah.