fb fb fb fb fb

11 PEDi baharu di Negeri Sembilan

SEREMBAN, 31 Mei- 11 lagi Pusat Ekonomi Digital, (PEDi) di Negeri Sembilan dijangka siap pembangunannya pada awal tahun depan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, ia dalam usaha memenuhi sasaran Perdana Menteri supaya setiap satu Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai satu PEDi.

Jelasnya, setakat ini di negeri itu sebanyak 51 buah PEDi sedia ada telah beroperasi.

"Kami akan mendirikan 11 PEDi baharu, di Negeri Sembilan. Hasrat kita ialah, kami akan buat tender terbuka dan sebagainya, melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC).

"Diharapkan 11 PEDi ini boleh beroperasi paling lewat awal tahun depan dan memberikan perkhidmatan internet untuk komuniti tempatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kempen Peningkatan Kesedaran Keselamatan Siber, Ekonomi, Digital dan Connectivity, di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Kampung Seri Sikamat, Seremban.

Teo turut memaklumkan, setiap pusat akan menempatkan 20 buah komputer dengan jaringan internet sebagai kemudahan untuk komuniti setempat.

(Teo Nie Ching)

Tambahnya, PEDi berperanan sebagai platform menyediakan latihan kursus bagi membantu komuniti menjadi usahawan selain menjalin kerjasama bagi pengusaha dalam dalam talian.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 131 tapak 5G telah dibangunkan di negeri itu setakat ini.

Bagaimanapun Teo berkata, "liputan 4G di seluruh Negeri Sembilan untuk kawasan berpenduduk akan mencapai lebih daripada 99%. Untuk yang baki satu peratus itu, kami akan cuba membekal liputan 4G melalui Jendela fasa 2.

"Selain daripada itu, untuk liputan 5G, di seluruh Negeri Sembilan, kami juga berhasrat untuk-lah mendiri tapak untuk 5G adalah sebanyak 207. Setakat ini, yang sudah siap adalah 131. Jadi, liputannya adalah sebanyak 53 untuk kawasan, 53% untuklah kawasan berpenduduk."

Dalam pada itu, KKD turut menyasarkan 80% liputan rangkaian selular 5G di seluruh Malaysia menjelang hujung tahun ini.

Teo sebelum itu, membuat lawatan kerja ke Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Negeri Sembilan serta menyantuni warga kerja RTM dan warga kerja daripada agensi di bawah kementerian itu.



Media Baharu