PUNCAK ALAM, 31 Mei- Program bersempena “Hari Tanpa Tembakau Sedunia 31 Mei 2023” yang dianjurkan di Hospital Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, Puncak Alam (HASA) dengan kolaborasi pelbagai jabatan serta agensi, seperti MyWatch, adalah salah satu langkah yang diambil untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarkat.
Bertemakan “Kita perlukan makanan, bukan tembakau" majlis dirasmikan pengarah hospital berkenaan, Prof Dr. Sazzli Shahlan Kasim.
"Hari ini adalah satu permulaan kepada usaha kami bersama-sama dengan rakan-rakan kolaborasi untuk membasmi tabiat menghisap rokok dan juga ketagihan terhadap nikotin. Kami harapkan usaha ini boleh membantu kerajaan dan juga rakyat untuk menjadi masyarakat yang lebih sihat," kata beliau.
Tambahnya, program ini dapat meningkatkan tingkat kesedaran masyarakat terhadap bahaya merokok dan vape.
"Kalau kita betul-betul hendak negara kita sihat bebas daripada amalan merokok, kita ikut, kita lihatlah kawan-kawan kita di Singapura, di Thailand, di Brunei jika mereka boleh haramkan, kenapa kita tidak boleh," kata Presiden Mywatch & Pengerusi bersama rakan strategik GEG, Roslizawati Mohd. Ali.
"Kita tahu merokok ini ada banyak elemen dalam rokok itu sendiri seperti nikotin, tar dan sebagainya dan akan mengakibatkan kanser paru-paru," kata peserta program, Wan Muhammad Afif Nazrul Anuar.
Terdapat pelbagai aktiviti dijalankan bertujuan mendidik dan memberi kesedaran seperti pembentangan forum, legislasi tembakau dan vape dan banyak lagi.
Hampir 400 orang menyertai program ini termasuk secara dalam talian.
Program ini adalah bagi menyokong usaha melahirkan generasi yang bebas asap rokok.
(Presiden Mywatch & Pengerusi bersama rakan strategik GEG, Roslizawati Mohd. Ali)