SEPANG, 31 Mei - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan rampasan koleksi jam berjenama Swatch atas sebab jelas tertera pada muka jam itu perkataan LGBTQ iaitu akronim bagi golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan setakat ini pihak terbabit belum menghubungi KDN bagi memberi penjelasan lanjut berhubung rampasan koleksi jam bertemakan pelangi, yang sering dikaitkan dengan komuniti itu, di 11 butik awal minggu ini.
"Kemunculan model itu di pasaran baik secara atas talian atau fizikal mengundang reaksi awam. Pihak kementerian khususnya bahagian penguatkuasaan dan kawalan menerima aduan awam. Apa yang kita lakukan dengan aduan awam? Kita tinjau dan memang benar ada penjualan.
"Adakah pihak Swatch ada hubungi kita? Jawapannya, belum. Sebab itu saya nak tegaskan memang tertera pada muka jam perkataan itu (LGBTQ) yang jadi sebab rampasan dilakukan," katanya kepada pemberita selepas tinjauan ke Kaunter Khas Jemaah Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.
Pada 13 dan 14 Mei lalu, KDN dilaporkan menyerbu 11 buah kedai Swatch di pusat beli-belah seperti Pavilion KL, 1 Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall dan Suria Sabah berhubung 'Koleksi Pride' jenama itu.
Lima kedai di pusat beli-belah di Alor Setar, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Johor Bahru dan Kuching diberikan amaran.