fb fb fb fb fb

Rakyat pilih teruskan pemakaian pelitup muka

JOHOR BAHRU, 8 September- Penduduk Johor memilih untuk terus memakai pelitup muka, walaupun kerajaan sudah melonggarkan SOP pemakaiannya.

Tinjauan RTM mendapati, mereka masih kurang yakin untuk tidak memakai pelitup muka di tempat awam kerana khuatir dengan penularan COVID-19.

(Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan dalam pengangkutan awam dan fasiliti kesihatan)

Bagaimanapun, tidak menafikan kelonggaran syarat pemakaian pelitup mula memberi kesan positif dalam kehidupan harian masyarakat.

"Pendapat peribadi saya, seeloknya pakai sebab kita masih belum menang dalam melawan COVID-19.

"Kalau ke masjid seeloknya pakai sebab boleh dikategorikan sebagai bangunan yang tertutup, dia berkumpul, makan masa yang lama," kata usahawan, Hassri Abdul Kadir.

(Hassri Abdul Kadir)

"Saya masih kekalkan, benda sudah ada dan kita pun telah terbiasa.

"Pada saya memakai pelitup muka ini, seperti macam satu pakaian biasa, kalau kita nak bersolek ke apa, pakai jam tangan, mesti ada, sudah terbiasa, jadi tiada masalah," menurut pesara kerajaan, Mohd Karim Wagiman.

(Mohd Karim Wagiman)

"Kebebasan pemakaian pelitup muka ini ada positif dia jugaklah, memilih pakaiannya di tempat-tempat tertentu," jelas ketua kampung, Mohd Zain Sungip.

(Mohd Zain Sungip)

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan adalah atas pilihan individu.

Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian situasi COVID-19 selain mengambil kira keperluan semasa.

Bagaimanapun, pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka.

Khairy turut menjelaskan, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan dalam pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi, perkhidmatan e-panggilan, kapal terbang, bas, van pekerja dan van sekolah.

Selain, di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis dan kes positif yang perlu ke Pusat Penilaian COVID-19.

Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos 2020.

Sejak 1 Mei lepas, pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di dalam bangunan dan pengangkutan awam.

Media Baharu