fb fb fb fb fb

Rakyat Pahang doa kesembuhan PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA

TEMERLOH, 2 November- Pembatalan lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pahang hari ini susulan faktor kesihatan menerima reaksi simpati rakyat khususnya di negeri Pahang.

Para peniaga dan orang ramai yang menantikan ketibaan Datuk Seri Anwar pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2025 di Lurah Semantan, Temerloh mendoakan kesembuhan pemimpin negara itu.

"Saya mewakili Yang Dipertua (YDP) Persatuan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengucapkan agar PM kita beransur pulih daripada masalah kesihatan. Semoga dia akan terus menjalankan kerja-kerja dalam kepimpinan negara," kata Abdullah Uda Saidi, Penolong Setiausaha Agong Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Sepatutnya majlis ini dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) PM, tetapi beliau ada faktor keuzuran. Kita mengharapkan supaya semua pihak mendoakan agar kesihatan PM lebih baik untuk masa akan datang," kata YDP Persatuan Peniaga & Penjaja Kecil Melayu Terengganu, Tuan Chik Tuan Muda.

"Memandangkan kesihatan beliau tidak mengizinkan, kami semua sepakat mendoakan agar PM kita diberikan kesejahteraan kesihatan supaya segalanya berjalan lancar seperti yang dirancangkan," kata Pasiah Hamzah, peniaga.

"Saya mendoakan agar PM cepat sembuh, diberi kesihatan yang baik dan dapat melaksanakan tugas dengan baik sebagai seorang pemimpin," kata Nur Mashitah Abdul Rashid, pengunjung.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan memaklumkan pembatalan saat akhir itu dibuat atas nasihat pasukan perubatan agar Datuk Seri Anwar mendapatkan rehat yang mencukupi.

Datuk Seri Anwar dilapor mengalami sakit belakang dan menyebabkan pergerakan beliau terbatas.

Beliau turut menyatakan permohonan maaf kepada rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadirannya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM