fb fb fb fb fb

Rakyat Malaysia di Lubnan dinasihat tinggalkan segera negara itu

FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR, 25 September - Semua rakyat Malaysia di Lubnan dinasihat membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara berkenaan secara sukarela, memandangkan keadaan semakin meruncing.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, warga Malaysia juga diminta menangguhkan semua perjalanan ke Lubnan sehingga keadaan di Lubnan kembali stabil.

"Sekiranya mana-mana rakyat Malaysia memerlukan bantuan konsular, Kedutaan Malaysia di Beirut boleh dihubungi di Kedutaan Besar Malaysia di Beirut beralamat Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Republik Lubnan. Nombor telefon: +961 7677 2527, +961 7138 0063 dan emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu Malaysia mengecam sekeras-sekerasnya serangan udara yang dilakukan rejim Zionis Israel di Lubnan baru-baru ini yang mengakibatkan lebih 500 orang maut dan lebih 1,600 orang cedera.

Ribuan telah kehilangan tempat tinggal dan ia merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

"Operasi ketenteraan Israel bukan sahaja akan meningkatkan lagi ketegangan di Lubnan dan serantau, tetapi juga menimbulkan risiko besar kepada negara jiran dan serta masyarakat antarabangsa.

"Tindakan rejim Zionis Israel memperluaskan operasi ketenteraannya ke Lubnan dan pada masa yang sama meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di hadapan mata masyarakat antarabangsa,
sama sekali tidak dapat diterima," kata Wisma Putra.

Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya mengambil tindakan segera dan tegas dalam menghentikan serangan kejam yang sedang berlaku di Palestin dan
Lubnan bagi melindungi orang awam.

"Masyarakat antarabangsa perlu bertindak secara bersama-sama dengan segera,"katanya.

Malaysia menggesa UNSC melaksanakan tanggungjawab berlandaskan piagamnya bagi menamatkan kitaran keganasan dan menyatakan pendekatan diplomatik dan komitmen terhadap dialog penting dalam memastikan keamanan yang berkekalan di rantau ini.

TETITIA YUSOFF