fb fb fb fb fb

Lapan sekolah GISBH diarah tutup

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof

KUALA LUMPUR, 25 September- Lapan sekolah persendirian terbabit GISBH diarahkan tutup oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkuat kuasa 23 September 2024.

Ia susulan pemeriksaan dan siasatan ke atas semua sekolah terlibat didapati menyalahi peruntukan Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (EPSAI 1988).

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tindakan pembatalan pendaftaran sekolah yang masih lagi berkuat kuasa juga akan dilaksanakan tertakluk kepada EPSAI 1988.

Tambahnya, kertas siasatan juga sedang dilengkapkan terhadap individu yang telah dikenal pasti terlibat dengan GISBH dan rangkaiannya.

Beliau berkata, MAIS menjunjung titah Sultan Selangor yang menitahkan penguatkuasaan tegas dilaksanakan bagi membanteras kesalahan jenayah termasuk jenayah akidah yang dikaitkan GISBH.

Sementara itu, MAIS akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi proses pemulihan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal yang kini ditempatkan di rumah kawalan jabatan tersebut.

MAIS juga telah membuat keputusan mengambil alih pengurusan Masjid Cahaya Iman dan menutup Musolla Ikhwan di Kompleks GISBH di Rawang sementara siasatan berhubung kesalahan jenayah termasuk jenayah syariah terhadap GISBH dan rangkaiannya selesai dilaksanakan.

Tambah beliau, satu jawatankuasa khas ditubuhkan terdiri dari pelbagai agensi seperti JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM dan agensi yang berkaitan bagi menyelaras tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE