fb fb fb fb fb

Raja Permaisuri Agong sampaikan anugerah kreatif Jabatan Penjara

(Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat
ke Majlis Anugerah Kreatif 2022 Jabatan Penjara Malaysia di Movenpick
Hotel & Convention Centre KLIA)

SEPANG, 31 Oktober-Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan Anugerah Kreatif Tenun Pahang Diraja, Songket, Batik dan Kraf Jabatan Penjara Malaysia 2022 pada malam Ahad.

Turut hadir ke majlis berkenaan, anakanda baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.

Bertemakan 'Kreativiti Melestari Tradisi', anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada warga Jabatan Penjara, terutamanya penghuni dan kakitangan yang terlibat dalam Bengkel Tenun Pahang Diraja, songket dan batik.

Dalam majlis tersebut, anugerah bagi kategori Tenun Pahang Diraja dimenangi oleh kakitangan Penjara Penor, Mohd. Hafiz Izudin Yasin dan Ahmad Firdaus Mohd. Razali, manakala Fadhil Ab Rashid dan Masdi Salim dari Penjara Marang pula dinobatkan sebagai johan kategori songket.

Bagi kategori batik pula, pemenangnya ialah Wan Mohd. Hafiz Wan Hamid dan Zulkifli Hussein dari Penjara Pengkalan Chepa, dan juara kategori warna alam pula menjadi milik Mohd. Shahrul Amir Muda dan Ahmad Firdaus Mohd. Razali dari penjara Penor.

Ke semua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 beserta trofi dan sijil.

(Tunku Azizah menyampaikan Anugerah Sulaiman Abd Ghani kepada Ahmad Firdaus
(dua, kiri) dan Mohd Shahrul (dua, kanan) daripada Penjara Penor pada
Majlis Anugerah Kreatif 2022 Jabatan Penjara Malaysia)


Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia Datuk Nordin Mohamed.

Media Baharu