ARAU, 26 Jun- Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, berkenan mengurniakan darjah kebesaran serta pingat negeri kepada 87 lagi penerima sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-82.
Istiadat penganugerahan sesi terakhir itu berlangsung petang tadi di Balairung Seri, Istana Arau.
Mengiringi Baginda ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dalam majlis penuh bersejarah itu, seramai 87 individu telah dikurniakan darjah kebesaran dan pingat sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan cemerlang kepada negeri dan negara.
Anugerah yang dikurniakan termasuklah Ahli Mahkota Perlis (AMP), Pingat Mahkota Perlis (PMP), Pingat Pekerti Terpilih (PPT), Pingat Jasa Kebaktian (PJK), Pingat Jasa Baik (PJB) dan Pingat Perkhidmatan Lama (PPL).
Antara penerima pada sesi kali ini adalah Ketua Jurulatih Angkat Berat Negeri Perlis Mohd Faiz Musa (PMP); pemuzik biola terkenal, Chik Mat Long (PJK); atlet sukan berbasikal negara, Anis Amira Rosidi (PJK); dan pelakon, Nur Fasha Sandha Hassan (PJB).
Ketua Bahagian Rancangan Jabatan Penyiaran Perlis, Nur Suriawaty Abdul Nasir serta jurukamera RTM Badruddin Ramli dianugerahkan PJK.
Manakala, penyampai PERLISfm Noor Aziah Ahmad merupakan penerima PJB.
Seorang lagi jurukamera RTM Perlis, Sukairi Azwar Kadir turut menerima PJB pada sesi sebelum ini.