PUTRAJAYA, 26 Jun– Sistem Pengurusan Maklumat Hartanah (ProMIS) merupakan sistem digital baharu yang dijangka merevolusikan pengurusan kuarters, bangunan kerajaan dan rumah peranginan Persekutuan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata ia bukan sahaja memudahkan urusan pemohon, malah meningkatkan kecekapan pemprosesan.
"ProMIS, yang dibangunkan oleh Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) dengan kerjasama 20 agensi kerajaan dan dua syarikat swasta, menggantikan sistem terdahulu iaitu SBBPH (Sistem Bersepadu BPH).
"Ia menawarkan pendekatan hujung ke hujung ('end-to-end') dalam urusan pengurusan hartanah kerajaan, membolehkan permohonan dan pemprosesan dilakukan sepenuhnya secara dalam talian pantas, telus dan efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Peluncuran Sistem ProMIS di sini, hari ini.
ProMIS yang dibangunkan selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021–2025 dan Aspirasi Strategi Digital First (ASDF) menekankan prinsip tadbir urus digital, reka bentuk berteraskan keselamatan dan penyampaian berpaksikan rakyat.
Sebagai antara lapan inisiatif digital utama sektor pentadbiran awam, pelancaran ProMIS menandakan permulaan kepada pengurusan kuarters kerajaan secara bersepadu di peringkat nasional.
Beliau turut menyeru agar semua pihak memanfaatkan sistem itu sepenuhnya dan terus menyokong usaha transformasi digital demi perkhidmatan kerajaan yang lebih pantas, mesra pengguna dan berimpak tinggi.