DUNGUN, 26 Jun- Masjid Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu, Kampus Bukit Besi dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027 dan mampu menampung sehingga 1,500 jemaah dalam satu masa.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata, pembinaan masjid yang dinamakan Pusat Hidayah bagi fasa pertama melibatkan kos RM2 juta dan dibina di atas tanah seluas 0.61 hektar, hasil sumbangan orang ramai yang dikumpulkan sejak tahun 2018.
Menurut beliau, pembinaan penuh Pusat Hidayah itu diunjurkan menelan kos kira-kira RM6 juta, melibatkan tiga fasa keseluruhan. Fasa pertama merangkumi ruang ibadah yang lengkap dengan kemudahan asas minimum.
“Dari 2018 hingga sekarang kita berjaya mengumpulkan kira-kira RM2 juta dan pelan yang kita cuba bangunkan itu berjumlah kurang lebih RM1.9 juta. Dengan belanja sekitar RM2 juta itu kita mampu membina bangunan berkapasiti 1,500 jemaah. Saya gunakan konsep ‘less is more’,” katanya.
Fasa kedua dan ketiga pula akan membabitkan kemudahan seperti kelas pengajian, perpustakaan mini, dewan dan akan dijadikan pusat aktiviti keagamaan pelajar kampus.
Prof. Datuk Dr. Shahrin berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid UiTM Bukit Besi, Dungun, yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini.
Baginda turut berangkat bersama dua anakanda, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Seri Setia Mahkota Raja, Tengku Datuk Seri Muhammad Muaz, serta disambut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Prof. Datuk Dr. Shahrin berkata, masjid tersebut dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dan akan dibuka kepada penduduk setempat serta orang awam bagi menunaikan solat termasuk solat Jumaat.
Tambah beliau, ketika kampus UiTM itu mula beroperasi pada tahun 2013 hingga 2016, pelajar perlu ke Masjid Bukit Besi dan Masjid Bandar Al Muktafi Billah Shah, sejauh antara lima hingga 15 kilometer, untuk solat Jumaat.
Bagaimanapun, pihak kampus kemudiannya menerima tauliah untuk mendirikan solat Jumaat di surau kampus, yang memberi keselesaan lebih baik kepada pelajar untuk beribadah.
Pembinaan masjid itu dijangka menjadi mercu tanda baharu di kawasan Bukit Besi sebagai pusat penyatuan masyarakat setempat dan warga kampus.