fb fb fb fb fb

Raja Muda Perlis beri penekanan aspek kebersihan

KANGAR, 21 Jun - Dalam usaha mencapai Wawasan ke arah Perlis Negeri Bandaraya 2030, aspek yang perlu diberi keutamaan adalah kebersihan.

Bagi memastikan aspek kebersihan ini menjadi budaya kepada masyarakat, pelbagai bentuk inisiatif yang telah dirangka oleh pihak kerajaan melalui agensi-agensi kerajaan diperingkat negeri.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha dan tindakan semua agensi kerajaan mahupun swasta dalam membantu menjadikan rakyat Perlis hidup dalam keadaan yang bersih amat disokong.

Inisiatif yang diambil oleh SWCorp dengan kerjasama JAIPs dalam melaksanakan Program Amal Jariah dengan penglibatan institusi masjid adalah merupakan salah satu usaha yang mampu memberi impak yang besar dan positif kepada masyarakat di negeri ini.


(Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merasmikan program amal jariah melalui barang kitar semula disaksikan oleh Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Datuk Mokhtar di sini)

Institusi masjid merupakan salah satu pusat pembangunan ummah yang menyatukan masyarakat dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada amal jariah dan dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.

"Melalui pelaksanaan program-program kesedaran seperti Amal Jariah Kitar Semula ini, institusi masjid akan dapat membantu agensi-agensi berwajib dalam mendidik dan meningkatkan lagi kesedaran masyarakat berkaitan kebersihan melalui aktiviti ceramah, seminar dan seumpamanya kepada kariah-kariah masjid."

"Sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan program-program kesedaran awam ini, kerjasama dari pelbagai jabatan dan agensi untuk turut serta dalam Program “Islah Ummah” yang diadakan di masjid-masjid terpilih untuk menyampaikan tazkirah yang berfokuskan kepada tema kebersihan bagi menggalakkan masyarakat bergiat aktif dalam membudayakan amalan kitar semula," demikian titah baginda ketika merasmikan Program Amal Jariah melalui kitar semula di seluruh Masjid Negeri Perlis dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Perlis dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs).

Media Baharu