ALOR SETAR, 24 Disember - Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin menzahirkan rasa kesal susulan masalah air sisa lori sampah yang menitis di sekitar Bandaraya Alor Setar.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, masalah itu disampaikan sendiri oleh Tengku Sarafudin Badlishah kepadanya, baru-baru ini.
Dalam kenyataan kepada RTM, Datuk Abdul Gafar berkata, Tengku Sarafudin Badlishah memaklumkan Baginda melihat sendiri lori sampah yang bergerak sambil air sisa menitis ke atas permukaan jalan.
Baginda seterusnya mengambil inisiatif untuk menegur serta melaporkan perkara tersebut kepadanya.
Beliau berkata, susulan aduan tersebut, pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah mengambil tindakan penguatkuasaan dan mengeluarkan kompaun terhadap lori sampah yang terlibat.
Tegas beliau, bermula 1 Januari 2026, pegawai Penguat Kuasa MBAS dan SWCorp akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang membuang sampah di kawasan yang tidak dibenarkan.
Langkah itu bagi memastikan bandaraya Alor Setar terus kekal bersih, indah dan menjadi lokasi tumpuan pelancong tempatan dan asing.