fb fb fb fb fb

Raja Muda Kedah berkenan tauliahkan 1,488 pegawai kadet Palapes

(Tengku Sarafudin Badlishah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Perbarisan PALAPES daripada
20 Universiti Awam (UA) seluruh Malaysia di Padang Kawad PALAPES UUM, Sintok)

SINTOK, 9 September- Seramai 1,488 pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) daripada 20 Universiti Awam (UA) seluruh Malaysia ditauliahkan pada Istiadat Pentauliahan Diraja di Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat tersebut.

Keberangkatan tiba Tengku Sarafudin Badlishah disambut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohamad Ab Rahman, Panglima-Panglima Perkhidmatan dan Naib Canselor UUM, Kolonel (Kehormat) Profesor Dr Mohd Foad Sakdan.

Istiadat Perbarisan diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan Muhammad Irfan  Mohamad dari PALAPES Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) .

Raja Muda Kedah yang mewakili Sultan Kedah, Tuanku Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam ucapan bertitah dengan pentauliahan ini dapat membantu mempertingkatkan sistem pertahanan negara.

"Melalui konsep ini, sudah pasti negara kita akan dapat melahirkan modal insan yang dapat menyumbang kepada pertahanan negara sebagai pegawai muda sukarela yang profesional dan kompeten. Sehubungan itu, saudara-saudari seharusnya merasa bangga dan hendaklah meneruskan kesinambungan usaha bagi melengkapkan diri untuk menjadi rakyat yang boleh menyumbang kepada keamanan negara serta mempertahankan negara daripada anasir-anasir yang tidak diingini," titah baginda.

Selesai istiadat perbarisan,  Tengku Sarafudin turut berkenan mengurniakan watikah tauliah kepada semua pegawai di Dewan Mu’adzam Shah disusuli dengan bacaan ikrar Taat Setia Perwira.

Mereka terdiri daripada 861 Pegawai Muda Rejimen Askar Wataniah (RAW), 287 Pegawai Muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan 340 Pegawai Muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM)  .


(Seramai 1,488 pegawai kadet PALAPES daripada 20 Universiti Awam (UA) seluruh
Malaysia ditauliahkan pada Istiadat Pentauliahan Diraja di  hari ini/ FB Naib Canselor UUM)

Media Baharu