fb fb fb fb fb

Putera Iman Shah terima bantuan YPM, ikrar berbakti semula kepada masyarakat

Foto UUM

SINTOK, 8 Oktober - Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Putera Iman Shah Shahiran, 19, menerima sumbangan komputer riba dan wang tunai sebanyak RM1,000 daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM), seperti yang dijanjikan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini.

Majlis penyerahan sumbangan telah berlangsung semalam di Balai Tamu, yang disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah YPM, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri dan disaksikan oleh Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan.

Syed Mohd Johan berkata, penyerahan sumbangan tersebut melambangkan keprihatinan pihak MARA dan YPM serta Datuk Dr. Asyraf terhadap kebajikan pelajar.

“Kami berharap bantuan ini dapat menjadi dorongan buat Putera untuk terus bersemangat menuntut ilmu walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Saya telah menyampaikan amanah ini dan berharap dia akan terus berjaya serta mengharumkan nama universiti, agama, bangsa dan negara,” katanya.

Sementara itu, Putera Iman Shah yang merupakan anak yatim piatu menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada Datuk Dr. Asyraf Wajdi dan pihak MARA atas sumbangan yang diberikan.

“Saya amat berterima kasih atas bantuan ini kerana ia benar-benar meringankan beban dan memberi semangat baharu untuk saya belajar bersungguh-sungguh.

“Saya mahu menggunakan peluang ini untuk berjaya dan suatu hari nanti menyumbang semula kepada masyarakat,” ujarnya.

Pada majlis sama, turut diadakan penyampaian sumbangan komputer riba kepada pelajar daripada keluarga B40 sebagai usaha berterusan membantu pelajar yang memerlukan kemudahan pembelajaran yang lebih baik.

Terdahulu pada September lepas, kisah Putera Iman Shah tular selepas dia mendaftar sendirian di UUM kerana telah kehilangan kedua-dua ibu bapanya.

Kisah tersebut mendapat perhatian ramai pihak termasuk Datuk Dr. Asyraf yang menyatakan hasrat untuk menjadikan Putera Iman Shah sebagai anak angkat serta berjanji untuk membantu pelajar itu.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN