
KULIM, 18 Januari – Pusat Satelit Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) pertama di Kedah siap dibina di Kulim, sekali gus menjadi pusat latihan berteknologi bagi menyokong pembangunan industri pembinaan di negeri itu.
- Pusat Satelit BIM pertama Kedah siap dibina di Kulim sebagai pusat latihan berteknologi untuk industri pembinaan.
- Menawarkan kursus pengenalan asas BIM dan pendedahan teknologi terkini bagi peningkatan kecekapan projek.
- Sesuai untuk pelajar serta profesional seperti pereka bentuk, jurudraf, jurutera dan pengurus projek.
- Dilengkapi 16 komputer meja termasuk PC Trainer menggunakan perisian Autodesk, diserahkan kepada CIDB Kedah.
Pusat berkenaan menawarkan kursus pengenalan asas BIM serta pendedahan kepada penggunaan teknologi terkini dalam industri pembinaan.
Kementerian Kerja Raya dalam satu kenyataan berkata, program latihan itu bertujuan membantu peserta memahami peranan BIM dalam perancangan dan pelaksanaan projek, meningkatkan kerjasama antara pihak berkepentingan, selain menyokong proses reka bentuk dan pembinaan yang lebih cekap serta berkesan.
Pusat Satelit BIM tersebut sesuai untuk pelajar dan profesional industri pembinaan termasuk pereka bentuk, jurudraf, pegawai kontrak, juruukur bahan, jurutera serta pengurus projek.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim meninjau kemudahan dan kesiapsiagaan pusat latihan berkenaan.
Pusat tersebut siap dibina 15 Disember tahun lalu sebelum diserahkan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Kedah.
Pusat Satelit BIM Kedah dilengkapi 16 unit komputer meja termasuk sebuah PC Trainer yang menggunakan perisian Autodesk.
Inisiatif berkenaan mencerminkan aspirasi Malaysia MADANI melalui pemerkasaan modal insan, pendigitalan industri pembinaan serta pembangunan berteraskan nilai kemajuan dan kemampanan.
Datuk Seri Azman turut melawat Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara bagi meninjau kemudahan latihan serta infrastruktur sokongan pembangunan modal insan industri pembinaan.
Turut hadir, Pengarah Akademi Binaan Malaysia merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Utara, Mohd Nazri Zakaria.