fb fb fb fb fb

Pusat Respons Scam Kebangsaan ditubuhkan bagi tangani jenayah siber

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) akan membolehkan tindakan bersepadu dan segera dilakukan.

Ia berfungsi menyekat pengaliran dana selanjutnya serta mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pelaku jenayah siber.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan berkata, NSRC telah ditubuhkan dan diumum dalam Bajet 2023 sebagai satu daripada inisiatif menangani kes-kes jenayah penipuan siber dengan lebih berkesan dan bersepadu.

"NSRC merupakan pusat respons setempat yang menggabungkan sumber dan kepakaran Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, institusi perbankan serta syarikat perkhidmatan telekomunikasi bagi menerima laporan daripada mangsa penipuan siber," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi menjelaskan, tindakan segera menghubungi pihak bank atau NSRC adalah sangat penting bagi membolehkan tindakan menyekat pengeluaran wang mangsa selanjutnya daripada sistem perbankan.

Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada apabila dihubungi pihak yang mengaku kononnya daripada pihak berkuasa atau berkaitan apa-apa perkhidmatan yang diragui.

Media Baharu