fb fb fb fb fb

Pusat Komuniti Desa bergerak, pusat sehenti pelbagai perkhidmatan

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang

MIRI, 10 Ogos - Program mini Pusat Komuniti Desa (PKD) bergerak akan terus menyantuni penduduk di kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata mini PKD menjangkau penduduk di kawasan yang sukar mengakses ke bandar, bagi mendapatkan maklumat terkini kemudahan disediakan kerajaan.

Beliau berkata, pelbagai program yang dilaksana di bawah kementeriannya telah banyak membantu meningkatkan sosioekonomi penduduk luar bandar.

"Alhamdulillah untuk pengetahuan, kawasan luar bandar kita sudah semakin mengecil maksudnya kita telah berjaya membandarkan kawasan luar bandar, jumlah migrasi pun makin mengecil maksudnya kurang dah penghijrahan anak-anak muda ke bandar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program PKD Mobile di Dewan Terbuka Sepupok, Niah, di sini.

Tambah Rubiah, bagi memastikan peranan PKD di kawasan luar bandar terus diperkasa, tahun ini, sebanyak RM4 juta diperuntuk bagi memperkasa peranan PKD di seluruh negara.

Sejak 2021 hingga bulan lepas, lebih 23,400 program berkaitan, telah dilaksana PKD di seluruh negara.

Sehingga kini, terdapat 191 PKD termasuk di Sabah dan Sarawak.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN