PADANG BESAR, 25 Julai- Program Gaya Hidup Sihat Bersama Keluarga yang dianjurkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer adalah satu usaha memupuk gaya hidup sihat dan semangat kekeluargaan.
Program dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri berjaya menghimpunkan lebih 300 peserta terdiri pelbagai lapisan masyarakat dari 25 kampung seluruh kawasan Mata Ayer sebagai wadah mengeratkan perpaduan.
Menurut Exco Negeri yang juga ADUN Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya, usaha dilaksanakan ini bagi melahirkan komuniti yang mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan dan membentuk budaya aktif bersukan.
Antara aktiviti sukan yang diketengahkan termasuk sukan rakyat iaitu tuju selipar dan boling nyiur selain bola jaring dan turut mengetengahkan bakat kanak-kanak menerusi pertandingan mewarna.
Masyarakat disaran untuk terus menyokong sebarang program pembangunan gaya hidup sihat dan cergas yang mampu mengurangkan risiko penyakit.
"Satu program yang memberi faedah dan juga begitu baik untuk diteruskan. Penglibatan hari ini melebihi 300 orang, terdiri daripada setiap keluarga DUN Mata Ayer," kata Siti Berenee menyatakannya kepada media pada Program Gaya Hidup Sihat Bersama Keluarga di Perkarangan Pusat Khidmat DUN Mata Ayer.
Bersempena program ini juga, Jabatan Kesihatan Negeri turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan bergerak bagi memudahkan masyarakat setempat menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapat nasihat kesihatan.
(ADUN Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya)