fb fb fb fb fb

PTPTN sambut baik inisiatif kerajaan negeri perkukuh ekosistem pendidikan

Ia mencerminkan usaha kerajaan negeri untuk membudayakan penabungan pendidikan serta meringankan beban kewangan pelajar

KUALA LUMPUR, 23 Disember - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merakamkan penghargaan kepada tujuh kerajaan negeri atas komitmen berterusan dalam memperkukuh agenda pendidikan melalui simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN), serta insentif bayaran balik pinjaman pendidikan menerusi Belanjawan Negeri 2026.

PTPTN dalam kenyataannya memaklumkan, inisiatif tersebut mencerminkan usaha kerajaan negeri untuk membudayakan penabungan pendidikan serta meringankan beban kewangan pelajar.

Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah peruntukan RM24.6 juta oleh Kerajaan Negeri Johor bawah Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang melibatkan bantuan tunai dan Simpan SSPN kepada lebih 12,000 anak yatim.

Selangor memperuntukkan RM3 juta melalui Program Iltizam Anak Selangor (ANAS) dengan pemberian RM100 setahun kepada 30,000 anak kelahiran negeri itu bagi tempoh lima tahun.

Sarawak memperuntukkan RM15 juta bagi Program Insentif Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Anak Sarawak, manakala Perak menyalurkan RM1 juta menerusi Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak (TASPEN) dengan pemberian RM200 dalam akaun Simpan SSPN Prime.

Melaka pula memperkenalkan Program MeSRa Bayi dengan peruntukan RM200,000 melalui insentif Simpan SSPN Prime kepada bayi yang baru lahir.

Negeri Sembilan memperuntukkan RM1.6 juta bagi pemberian insentif RM100 kepada kelahiran bayi baharu, manakala Pahang menyediakan peruntukan RM6.5 juta melalui Program Permata Makmur serta RM7 juta bagi bantuan pengurangan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada graduan ijazah pertama yang mula bekerja pada tahun 2025.

Sementara itu, Sabah meneruskan bantuan pendidikan sedia ada meliputi Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara sekali beri (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (BISTARI).

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pengumuman tersebut jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem pendidikan melalui pendekatan yang inklusif dan mampan.

"Saya melihat pengumuman ini sebagai manifestasi komitmen kerajaan negeri yang amat menitikberatkan aspek pendidikan dalam agenda pembangunan insan.

"Saya yakin melalui kerjasama strategik antara kerajaan negeri dengan PTPTN, lebih ramai pelajar akan mendapat manfaat, sekali gus melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing untuk masa depan negara," katanya.

Beliau turut menyeru lebih banyak kerajaan negeri dan agensi berkaitan menjadikan Simpan SSPN sebagai medium utama penyaluran insentif pendidikan, selaras usaha membudayakan penabungan dan menjamin masa depan pendidikan anak-anak Malaysia.

MASNIZA AWANG KECHIK