fb fb fb fb fb

PTPTN: Lebih 42,000 pelajar bakal terima wang pendahuluan pinjaman

(FOTO HIASAN/ BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 15 Julai - Seramai 42,946 pelajar yang melanjutkan pengajian peringkat diploma di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sesi Julai 2023 bakal  menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan  sebanyak RM64.42 juta peruntukan disediakan bagi menampung sebahagian perbelanjaan persiapan awal pelajar.

Semakan tawaran WPP tersebut boleh dilakukan melalui portal rasmi PTPTN. 

Pelajar boleh menunaikan WPP di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad di seluruh negara mulai 18 Julai ini dengan membawa surat tawaran WPP serta MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan) dan tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 18 Julai hingga 18 September.

“WPP ini diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP semasa memohon melalui UPUOnline atau portal kemasukan IPTA, ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Semenjak WPP diperkenalkan pada 1999 hingga 31 Mei 2023, sebanyak 969,046 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.43 bilion,” menurut kenyataan itu.

PTPTN sentiasa berusaha membantu ibu bapa dan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA, sekali gus komited memastikan tiada pelajar yang tercicir ke IPTA kerana masalah kewangan.

Pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap IPTA untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.

Bagi pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).


(FOTO HIASAN/ BERNAMA)

Media Baharu