fb fb fb fb fb

Fasiliti kesihatan daif di Terengganu bakal dinaik taraf, baik pulih- Zaliha

(Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa)

KUALA TERENGGANU, 15 Julai- Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti 112 fasiliti kesihatan daif di Terengganu merangkumi Klinik Kesihatan, Klinik Desa dan Klinik Pergigian.

Projek menaik taraf dan baik pulih secara berperingkat bermula tahun ini, akan dimulai dengan 58 fasiliti Klinik kesihatan dengan peruntukan berjumlah RM8.9 juta.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, sehingga kini, 21 klinik kesihatan telah pun siap sepenuhnya dan 36 projek lagi akan diselesaikan hingga hujung tahun Ini.

Manakala kerja kerja menaik taraf dan baik pulih 54 klinik kesihatan lagi akan dilaksanakan pada tahun 2024 dan 2025 secara berperingkat.

"Projek membaik pulih dan menaik taraf klinik yang diklasifikasi sebagai daif di seluruh Terengganu antara inisiatif yang bakal meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan negeri," katanya.

Beliau ditemui media ketika meninjau Klinik Desa Kesihatan Pulau Bahagian, Manir, Kuala Terengganu.


(Dr Zaliha ketika membuat tinjauan di Klinik Desa Kesihatan Pulau Bahagian, Manir, Kuala Terengganu)

Dalam perkembangan sama, KKM turut meluluskan RM200,000 bagi menaik taraf sistem elektrik di empat klinik kesihatan di Terengganu, termasuk Klinik Kesihatan Seberang Takir dan Bukit Tunggal.

Sebanyak RM150,000 lagi melibatkan pembelian peralatan perubatan untuk kegunaan semua klinik di seluruh negeri ini

Mengenai Hospital Dungun, Dr Zaliha berkata, hospital yang diklasifikasi sebagai projek sakit itu dijangka siap akhir Disember depan.

Media Baharu