(FOTO FB MENTERI)
KUALA LUMPUR, 29 Mac- Pelancaran aplikasi myPTPTN beri manfaat dan kemudahan kepada masyarakat khususnya pelanggan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Usaha membangunkan aplikasi mudah alih ini bertepatan dengan agenda pendigitalan Kerajaan dalam meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
PTPTN sentiasa menambah baik perkhidmatan dalam talian dan menyediakan pelbagai saluran pembayaran dalam talian untuk menggalakkan bayaran tanpa tunai bagi urusan bayaran balik pinjaman PTPTN dan penambahan deposit Simpan SSPN.
Dalam ucapan perasmian Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad memaklumkan, aplikasi myPTPTN sangat dinanti-nantikan oleh masyarakat Malaysia.
(FOTO PTPTN)
Kemudahan ini bakal memanfaatkan lebih 3 juta peminjam dan 5.28 juta pendeposit Simpan SSPN untuk mengakses dengan mudah, cepat dan selamat.
"Antara kemudahan yang disediakan dalam aplikasi myPTPTN ialah semakan penyata pinjaman, bayaran balik pinjaman, semakan penyata Simpan SSPN, pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN serta permohonan potongan gaji dan Debit Terus bagi bayaran balik pinjaman dan Simpan SSPN," kata Dr. Noraini Ahmad ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran myPTPTN di ibu negara.