fb fb fb fb fb

Melaka Digital Command Centre (MD2C) bakal tingkatkan tadbir urus maklumat digital negeri

AYER KEROH, 29 Mac- Kerajaan Negeri Melaka menubuhkan Pusat Maklumat Digital Berprestasi Tinggi Pentadbiran iaitu Melaka Digital Command Centre (MD2C) dalam mengurus dan mengendali maklumat pendigitalan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata MD2C dibangunkan bagi membantu kerajaan negeri membuat keputusan strategik dalam pelbagai aspek digitalisasi menerusi pengumpulan dan analisa data-data serta maklumat digital terkini daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau berkata pusat yang beroperasi di aras 6, Blok Bentara, Kompleks Seri Negeri ini dilengkapi infrastruktur fizikal termasuk skrin 'video wall', kelengkapan rangkaian internet, kelengkapan ciri-ciri keselamatan dan perkakasan serta perisian yang terlibat.

Menurutnya, bagi fasa 1, bermula Disember 2021, sebanyak enam 'dashboard' baharu telah dibangunkan melibatkan lapan agensi dan jabatan kerajaan manakala sebanyak lima sistem sedia ada telah diselaraskan di pusat berkenaan membabitkan enam agensi dan jabatan kerajaan.


(Gambar Fail)

“Bagi fasa kedua nanti kerajaan negeri dijangka akan membangunkan tiga lagi 'dashboard' yang baru dan tiga penambahbaikan dashboard yang sedia ada yang melibatkan pelancongan meteorologi dan aduan pembangunan dan penambahbaikan ini adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri memperkasakan inisiatif data raya dan data analitik di Melaka Digital Command Centre," kata beliau selepas melancarkan MD2C di Seri Negeri Ayer Keroh.

"Pembangunan MD2C akan memantapkan lagi perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat," tambahnya.

Media Baharu