fb fb fb fb fb

PRU15: Suara golongan belia perlu lebih didengari

(Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia, Fazril Saleh ditemu bual Berita RTM selepas menjadi tetamu
program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri, Kuala Lumpur hari ini)

KUALA LUMPUR, 14 November - Suara golongan belia perlu lebih tegas supaya didengari oleh ahli-ahli parlimen bagi membentuk kerajaan ke arah yang lebih stabil.

Menurut Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia, Fazril Saleh, faktor tersebut berikutan belia merupakan golongan majoriti yang akan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau berkata pendidikan demokrasi dan kewarganegaraan harus disemai terhadap golongan ini agar mereka dapat memberi perubahan kepada pembangunan negara kelak.

"Orang muda kena tahu masa depan mereka sendiri, lima tahun menentukan masa depan mereka dan saya pun rasa ada keyakinan bahawa selepas ini disebabkan ada pelbagai isu pergolakan politik yang dinamakan sebagai dinamika politik, apa sahaja yang berlaku itu sebenarnya semakin mematangkan politik dalam negara dan siapa yang membentuk kerajaan ini akan lebih peduli sebenarnya terhadap apa yang dimahukan oleh rakyat," kata beliau ketika ditemu bual selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri, di sini hari ini.


(Foto fail)

Seramai 1,393,549 pemilih berusia 18 hingga 20 tahun di seluruh negara akan mengundi buat kali pertama pada PRU15, 19 November ini.

Golongan belia berumur 18 tahun ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pengundi sah selepas Rang Undang-undang (RUU) Undi 18 dan Pendaftaran Secara Automatik (AVR) diluluskan pada Julai 2019.

Media Baharu