(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Putrajaya/BERNAMA)
PUTRAJAYA, 6 Julai- Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan parti komponennya, MCA dan MIC untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya menghormati keputusan dibuat pimpinan tertinggi kedua-dua parti tersebut.
Beliau menolak dakwaan bahawa kedua-dua parti itu bertindak memboikot PRU DUN ke-15 di enam negeri itu dan menyifatkan mereka mempunyai alasan tersendiri dalam membuat keputusan untuk tidak bertanding.
(Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)
"Saya menghormati keputusan dibuat oleh kedua parti dan daripada keputusan kepimpinan tertinggi parti. Namun, kita akan bincangkan pada 10 Julai nanti pada Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional.
"Kita sebenarnya kita telah menetapkan MIC, MCA ada kerusi. Tetapi kalau itu yang mereka putuskan kita akan perbincangkan. Yang penting BN sebagai komponen penting dan strategik dalam Kerajaan Perpaduan ini akan terus bersama menghadapi pilihan raya di enam negeri pada 12 ogos nanti", katanya.
Katanya, kedua-dua parti itu juga akan turut membantu dalam urusan berkempen menjelang pilihan raya dan ini membuktikan tiada permasalahan dalaman yang berlaku.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid ditemui pemberita pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Putrajaya.