BUKIT KAYU HITAM, 6 Julai - Seramai enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan, kerana cuba menyeludup masuk di kawasan hutan berdekatan sempadan Malaysia-Thailand, di sini semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan mereka yang ditangkap ialah lima lelaki dan seorang wanita berumur antara 25 hingga 46 tahun.
"Mereka merupakan warganegara Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan memasuki negara melalui laluan haram," menurut kenyataan itu.
Turut dirampas sebuah telefon bimbit dan wang tunai mata wang Malaysia dengan rampasan keseluruhan RM701.
Kesemua PATI dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk siasatan lanjut.
(FOTO Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen))
Pasukan beroperasi akan terus memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya kemasukan PATI.