(Foto hiasan)
PUTRAJAYA, 6 Julai- Usaha menoktahkan kemiskinan masyarakat luar bandar perlu terus dipertingkatkan oleh setiap agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kerjasama antara agensi mampu mencapai hasrat menoktahkan kemiskinan seperti yang disasarkan kerajaan.
Beliau berkata setiap perancangan dan program yang dilakukan perlu mempunyai keberkesanan dan memberi impak terhadap kumpulan sasaran iaitu rakyat luar bandar.
(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Putrajaya/BERNAMA)
"Saya harap sasaran menoktahkan miskin tegar dilakukan agensi KKDW kerana kebanyakan di sana, tetapi tidak dilupakan masyarakat bandar yang dipanggil miskin bandar. Itu juga berada di bandar, itu biarlah agensi lain laksanakan. Kita yang menjaga Kementerian Desa dan Wilayah mesti menterjemahkan apa yang disasarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ini merupakan sesuatu yang mesti dilakukan secara berterusan dan kita boleh memodifikasikan untuk terus membawa beberapa perubahan. Dengan demikian saya ucapkan tahniah hampir lapan bulan saya berpuas hati dengan kepimpinan KKDW", katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Putrajaya.
Beliau turut berpuas hati terhadap prestasi agensi di bawah kementerian itu semenjak lapan bulan menerajui kepimpinan.
Dalam ucapan pada majlis sama, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mahu dua agensi di bawah kementeriannya, FELCRA dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) untuk meningkatkan kolaborasi sedia ada untuk mengeluarkan satu juta ekor ayam pedaging bagi setiap pusingan berbanding 250,000 ekor ketika ini.
"Saya juga mahu agensi-agensi wilayah di bawah kita mengadakan kolaborasi sesama kita. Umpamanya, kerjasama antara FELCRA dan KESEDAR yang telah membangunkan projek ternakan ayam secara tertutup dengan kapasiti 250,000 ayam pedaging bagi setiap pusingan.
"Saya cabar, kolaborasi ini mesti 1 juta ekor ayam setiap pusingan. Pasti boleh dilakukan walaupun ada halangan, tapi kaedahnya bagaimana kita mengatasinya", katanya.