KAPAR, 24 Februari- Susulan dakwaan pemohon Bantuan Selangor Bangkit (BSB) terpaksa beratur panjang ketika proses penerimaan.
Tinjauan wartawan Berita RTM di tiga daripada lima pusat pemberian bantuan daerah Klang mendapati suasana agihan berjalan dengan lancar dan tidak sesak.
Pemerhatian yang dilakukan bermula pukul 3.00 petang hingga 8.30 malam itu termasuk di Dewan Sri Kerayong, Dewan Kilat TNB dan Dewan Kompleks Pandamaran.
"Sejumlah RM2 juta hingga RM2.5 juta berjaya diagihkan setiap hari untuk setiap satu pusat pemberian bantuan," jelas Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Elya Marini Darmin.
Pihaknya membantu pengurusan edaran wang tunai dengan menyediakan logistik dan para petugas.
Tambah beliau, pihak Jawatankuasa Bencana Daerah Klang di bawah pentadbiran Pegawai Daerah Klang mensasarkan sebanyak RM50 juta perlu diagihkan kepada kesemua 50,000 pemohon bantuan sebelum 28 Februari ini.
Difahamkan, pemohon diberi pilihan untuk menggunakan kaedah agihan penerimaan secara tunai atau melalui pindahan dana elektronik (EFT).