
BATU KAWAN, 20 Jun– Proses kelulusan pelaburan dan pelaksanaan projek strategik perlu dipercepat bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan berteknologi tinggi.
- Mempercepat kelulusan pelaburan dan pelaksanaan projek strategik untuk memastikan hasil dicapai dalam jangka masa singkat.
- Kurangkan kerenah birokrasi dan tingkatkan kecekapan pentadbiran bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.
- Perjelas dasar, perbaiki sistem penyampaian dan elakkan sikap terlalu selesa agar daya saing negara terpelihara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan pentadbiran.
Jelas beliau pendekatan itu penting bagi memenuhi keperluan industri yang berkembang pesat.
Menurut Datuk Seri Anwar, kejayaan menarik pelaburan berkualiti tinggi tidak boleh bergantung kepada prosedur lama yang mengambil masa panjang untuk dilaksanakan.
“Ia juga melibatkan kejelasan dasar, kecekapan pentadbiran dan pengurangan birokrasi yang tidak perlu.
Kita bukan sekadar memudah cara, tetapi perlu mempercepatkan proses bagi mencapai hasil terbaik dalam masa yang lebih singkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan MKS Instruments Malaysia Sdn. Bhd. di sini.
Datuk Seri Anwar menyatakan, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam sistem penyampaian sedia ada.
Menurut beliau, antara cabaran yang perlu diatasi ialah sikap terlalu selesa dan berpuas hati dengan keadaan semasa yang boleh menjejaskan keupayaan negara untuk bersaing.