fb fb fb fb fb

PROMAK bekal makanan berkhasiat, 3,468 pelajar sekolah rendah di Perlis terima manfaat

KUALA PERLIS, 15 Ogos- Seramai 3,468 pelajar dari kalangan keluarga B40 di 13 buah sekolah rendah di Perlis menerima manfaat menerusi Program Makanan Kesihatan (PROMAK).

Program dilaksanakan Kumpulan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan Central Sugars Refinery Sdn. Bhd dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

Bagi Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman usaha yang dilaksanakan ini disambut baik terutamanya bagi membekalkan makanan berkhasiat kepada pelajar sekolah rendah.

Pelaksanaannya juga bagi menyokong usaha kerajaan dalam menangani masalah malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak selain memperkasakan generasi muda dengan makanan berkhasiat.

"Kita juga berharap agar pelajar-pelajar ini akan menerima nutrisi yang cukup baik kerana menu yang disediakan adalah menu yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan, yang mana ia mengandungi zat makanan yang bersesuaian dengan usia pelajar.

"Jadi kita harap pembangunan dan ekosistem yang menyeluruh akan dapat dilaksanakan di sekolah-sekolah yang menerima program PROMAK ini," katanya.

(Naharudeen Othman)

Beliau memaklumkannya pada pelancaran Program Makanan Kesihatan (PROMAK) di Sekolah Kebangsaan Kuala Perlis, yang melibatkan seramai 637 pelajar.

Secara keseluruhan, Kumpulan BERNAS akan melaksanakan PROMAK di seluruh negara bagi tempoh lima tahun bermula 2022 hingga 2026.

Sehingga kini, ia telah dilaksanakan di 4 buah negeri iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis.

Media Baharu