BINTULU, 28 Oktober- Kerajaan kini masih dalam perbincangan dengan dua kerajaan jiran dalam usaha mewujudkan Sistem Keretapi Borneo.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia melibatkan perundingan dengan kerajaan Indonesia dan Brunei Darussalam.
"Sebab itu Datuk Hasbi Habibollah, timbalan menteri dari GPS akan diberi amanah bagi memperincikan (projek tersebut) ia bukan sahaja melibatkan Indonesia di Kalimantan tetapi juga melibatkan Brunei dan Sabah,"katanya.
Beliau menjelaskan perkara itu kepada pemberita di Bintulu.
Sabtu lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan rancangan untuk menghubungkan seluruh Borneo dengan pengwujudan Sistem Keretapi Borneo melibatkan Sarawak, Sabah, Indonesia dan Brunei Darussalam.