fb fb fb fb fb

Prof Dr. Justin jadi rakyat Malaysia pertama tawan musim sejuk Antartika

Profesor Dr. Justin Sentian / Foto RTM

SEPANG, 28 Oktober - Saintis negara, dari Fakulti Sains dan Sumber Asli, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Justin Sentian diiktiraf sebagai rakyat Malaysia pertama menjalani ekspedisi di Antartika semasa musim sejuk dan paling lama berada di Antartika iaitu tujuh bulan.

Setelah menjalankan penyelidikan musim sejuk berkaitan perubahan iklim, di Semenanjung Antartika dalam keadaan cuaca melampau, beliau selamat tiba di tanahair, malam tadi.

"Sebanyak 197 sampel gas dari udara, salji, ais laut dan air laut, telah diambil untuk kajian kandungan spesies halokarbon seperti bromokarbon serta memperoleh data yang merekodkan variasi kepekatan ozon permukaan dan beberapa spesies gas hidrokarbon sepanjang musim sejuk di Antartika," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM).

Sementara itu, Justin yang ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkata antara cabaran yang dilalui sepanjang berada di Antartika ialah menghadapi keadaan cuaca yang sangat ekstrem dengan suhu udara mencapai -44 darjah Celsius dan kelajuan angin dengan ribut salji mencecah 120 kilometer/jam serta cuaca yang tidak menentu dalam sehari yang menyukarkan beliau untuk mengambil sampel kajian.

"Walaupun ada kekangan sedikit dari segi masa, namun dari segi keseluruhan segala-galanya berjalan dengan baik dan tidak ada apa masalah," katanya.

Justin turut berharap, kajiannya dapat menyumbang kepada kalangan saintis kimia atmosfera serta kepada seluruh masyarakat tempatan dan global untuk lebih memahami perhubungan kompleks dengan isu-isu semasa seperti perubahan iklim dan penipisan ozon di Antartika.

Ekspedisi selama tujuh bulan itu dijayakan bersama rakan penyelidik, Profesor Julio Escudero dari Chile di stesen penyelidikan milik Chile yang terletak di Pulau King George, Antartika yang dianjurkan oleh YPASM dengan kerjasama organisasi Instituto Antartico Chileno, dan Kedutaan Chile di Malaysia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN