fb fb fb fb fb

Projek RM4 Juta: SPRM teliti dokumen dakwaan salah laku DBKL

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki

PUTRAJAYA, 6 Februari - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti dokumen berkaitan dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan sedang dijalankan bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah atau isu berkaitan tatakelola dalam pemberian projek tersebut.

"Kami telah mendapat akses kepada dokumen yang diperoleh hasil siasatan dalaman DBKL, termasuk minit mesyuarat dan dokumen berkaitan. SPRM sedang mengkaji maklumat ini bagi menilai sama ada terdapat kesalahan di bawah Akta SPRM, penyalahgunaan kuasa atau isu tatakelola. Jika terdapat unsur rasuah, siasatan akan dilakukan dengan segera," katanya pada sidang media berhubung perkembangan pencegahan SPRM di sini, hari ini.

Azam turut memaklumkan bahawa setakat ini, tiada individu yang dipanggil untuk memberi keterangan kerana SPRM masih memberikan ruang kepada DBKL untuk menyelesaikan siasatan dalaman mereka.

Terdahulu, media melaporkan bahawa seorang ahli lembaga penasihat DBKL didakwa terlibat dalam pemberian projek bernilai RM4 juta, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai ketelusan proses pemberian projek tersebut.

GRACE AISYAH KEDAYAN